Sunday, May 16, 2010

ucapan hari guru 2010





16/5/2010 Terima kasih saudari pengerusi majlis.

Yang berusaha tuan pengetua, penolong kanan pentadbiran, penolong kanan ko-kurikulum, penolong kanan hal-ehwal murid, guru-guru kanan mata pelajaran, para guru dan rakan-rakan seperjuangan yang dihormati sekalian.

Selamat pagi dan Salam 1 Malaysia.

Kita sedia maklum, semua sekolah di seluruh Malaysia menyambut hari guru pada hari ini. Begitu juga dengan sekolah kita. Bersempena sambutan hari guru peringkat sekolah, saya diberi peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata.

"Sesungguhnya tanggal 16 Mei amat penting dan sangat bermakna untuk kita meraikan guru-guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Inilah waktu terbaik untuk kita luahkan setinggi-tinggi rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak berbudi kepada agama, bangsa dan juga Negara.’’

Bidang perguruan merupakan profesion yang amat mulia. Tanpa guru, pasti hari ini saya tidak dapat berucap di sini, bahkan para ilmuwan dan pakar-pakar lain juga tidak dapat dilahirkan. Guru adalah aset yang sangat penting dalam sesebuah negara.

Guru seumpama ibu dan bapa kepada kita kerana kita berada di bawah jagaan mereka hampir tujuh hingga lapan jam pada setiap hari persekolahan. Sekiranya kita sakit atau menghadapi sebarang masalah, gurulah insan pertama akan menolong kita.

Selain itu, guru-guru di sekolah ini sangat berdedikasi dan bertanggungjawab dalam melayani pelbagai karenah dan masalah yang ditimbulkan oleh kita. Walaupun sebahagian dari kita begitu nakal, guru-guru masih bersabar dan terus memberikan tunjuk ajar kepada kita agar kita menjadi manusia yang berguna dan berjaya.

Saya yakin rakan-rakan semua pasti tidak lupa kes pergaduhan yang berlangsung selama seminggu dalam beberapa minggu lepas. Pada minggu tersebut, setiap hari guru-guru turun untuk menjaga kita bagi mengelakkan pergaduhan . Kita bukan anak mereka, dan kita juga tidak mempunyai pertalian darah dengan guru. Kenapa guru bersusah payah menjaga kita?

Jawapannya mudah, kerana semua guru sayangkan kita dan menganggap kita sebagai anak-anak mereka. Sebagai contoh, apabila kita menyertai aktiviti luar, guru sanggup meluangkan masa bahkan meninggalkan ahli keluarga sementara waktu untuk menemani dan menjaga kita. Pengorbanan guru memang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Saya rasa rakan-rakan juga tahu bahawa warga luar atau masyarakat di luar sana beranggapan sekolah kita merupakan sekolah kelas bawahan. Kenapa mereka berfikiran demikian? Sebenarnya masalah tersebut berpunca dari diri kita sendiri. Renung-renungkan lah...

Walau apapun anggapan masyarakat di luar sana, guru-guru tidak berputus asa dan terus mengajar kita. Janganlah kita kecewakan guru-guru kita lagi, marilah kita bersama-sama belajar dan berusaha bersungguh-sungguh supaya mendapat keputusan yang baik dan cemerlang.

Guru-guru juga sentiasa bersedia untuk mengajar dan membantu kita. Bila kita menghadapi masalah dalam pelajaran, guru-guru sentiasa mengalu-alukan kita berjumpa dengan mereka. Tidak seorang guru pun yang tidak mahu mengajar atau membantu kita. Masalahnya ialah kita sendiri, mahu belajar atau tidak. Kita bukannya tak pandai. Pilihan di tangan kita sendiri. Tepuk dada tanya selera.

Saya menyeru kawan-kawan semua, marilah kita bersama-sama belajar dengan bersungguh-sungguh, kita kurangkan aktiviti merayau and bergaduh.

Disini saya mempunyai sebuah sajak yang ingin disampaikan kepada semua guru yang disayangi.


Dengan rasa syukur di Hari Guru ini
mengenang pengorbananmu setiap saat dalam kehidupan kami,
setiap hari tanpa jemu membimbing kami,
Menggunung tinggi harapan disandarkan,
kau pancarkan cahaya
Jutaan terima kasih atas kasih sayang dan perhatian mu
Jasa mu guru tidak terbalas...kami kenang ke akhir hayat
TERIMA KASIH CIKGU

Saya mewakili semua murid Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Lebai Man mengucapkan
SELAMAT HARI GURU DAN TERIMA KASIH CIKGU.

No comments:

Post a Comment